Kapten pasukan, Akmarulnizam Idris percaya rentak kemenangan dapat diteruskan dalam perlawanan ketiga Malaysian Premier Futsal League 2024 menentang Sabah pada Ahad ini.
Namun, dia mengakui Pahang Rangers tidak boleh sesekali mengambil mudah tentangan Sabah yang mana tampil dengan kekuatan berbeza musim ini.
"Sabah tahun ini dibarisi pemain yang agak berpengalaman, rata-rata pemain dari skuad Selangor TOT musim lalu. Jadi mereka bukan pasukan biasa-biasa, malah kita telah melihat mereka mengejutkan Selangor dalam perlawanan pertama.
"Jadi ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar namun sasaran kita di sana tetap mahu pulang dengan tiga mata. Kita sudah keciciran dua mata penting ketika lawan Shah Alam, adalah penting untuk memastikan tiada lagi mata yang dicicirkan selepas ini," kata Akmarulnizam.
Perlawanan menentang Sabah pada asalnya dijadual pada 2 Mac lalu namun dipinda Persatuan Bolasepak Malaysia berikutan masalah venue.
Pahang Rangers akan turun pada perlawanan ini nanti tanpa kelibat Harith Naim yang dilayangkan kad merah ketika menentang Selangor pada 25 Februari lalu, dan ini komen Gerard Casas mengenai ketiadaan Pemain Paling Bernilai 2023 itu.
"Saya tidak akan kata saya ok dengan kehilangan Naim, dia telah menjadi instrumental kepada skuad ini dan taruhan utama saya dalam setiap perlawanan.
"Saya juga tidak bersedia untuk dedahkan apa perancangan untuk menampung ketiadaannya, tetapi dari sudut positif saya rasa ini peluang untuk memberi minit permainan kepada pemain lain seterusnya untuk mereka membalas kepercayaan saya."
Selepas dua perlawanan, Pahang Rangers di tempat ketiga dengan empat mata.