Gerard Gembira ‘Powerplay’ Buahkan Hasil

Gerard Gembira ‘Powerplay’ Buahkan Hasil

Pahang Rangers terlepas peluang memulakan musim baru Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2024 dengan nota kemenangan, tetapi satu mata yang dibawa pulang dari Kompleks Panasonic melalui keputusan seri 6-6 menentang Shah Alam City tetap melegakan Gerard Casas. 


“Ia bukan satu keputusan yang teruk kerana Shah Alam City adalah satu pasukan yang bagus. Mental kami sedikit lemah dan tumpuan terjejas pada babak pertama terutama selepas mendapat dua jaringan awal. 


“Tetapi kami bangkit lebih baik di babak kedua dan menguasai perlawanan, di mana saya juga terpaksa mengambil risiko bermain power play. Saya percaya dengan strategi ‘power play’ kami meskipun kami dihukum di mana ia menjadi punca lawan mendapat gol keenam.


“Saya mahukan kemenangan dan saya sedar akan risiko taktikal ini kerana ia mungkin memberikan kami gol dan pada masa sama boleh menghukum kami. Saya bangga dengan sikap tidak berputus asa dan mentaliti pemain yang memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong,” kata Gerard.


Pada perlawanan yang berlangsung Sabtu, Pahang Rangers berada 2-0 di depan seawal lima minit pertama menerusi jaringan Felipe de Souza dan Amirul Khairuddin namun Shah Alam City bangkit menjaringkan empat gol untuk mendahului 4-2. 


Dua gol Harith Naim berjaya mengikat kedudukan 4-4 sebelum tuan rumah kembali menjarakkan kedudukan 6-4 dengan menambah dua lagi jaringan.  


Ketika tekanan semakin memuncak, Gerard mula bermain taktikal powerplay dan ia membuahkan hasil apabila mendapat dua gol menerusi Murilo Saad dan Harith Naim untuk kedudukan akhir 6-6.