Pahang Rangers melakar kemenangan pertama dalam saingan MPFL 2024, terima kasih kepada aksi dominan di hadapan penyokong sendiri di SUKPA.
Hatrik oleh pemain import Felipe de Souza dan Hamdin Zarif Mahmun, memastikan skuad Gerard Casas mencatat kemenangan dalam aksi 12 gol berkesudahan 8-4 ke atas bekas juara, Selangor FC.
Setelah hanya berpuas hati dengan keputusan seri dalam aksi sulung, Pahang Rangers ibarat mahu melepaskan geram dan dalam 12 minit pertama sudahpun mendahului 4-0 menerusi gol minit pertama Murilo Saad, disusuli jaringan Felipe, Amirul Khairuddin dan Hamdin.
Selangor tampil memberi tentangan di babak kedua dengan berjaya merapatkan defisit jaringan kepada 2-4 melalui Syahir Iqbal dan Khairul Effendy Bahrin.
Namun keghairahan tuan rumah untuk memburu kemenangan nyata sukar dibendung, meskipun kehilangan khidmat Harith Naim kerana kad merah.
Empat gol menyusul selepas itu masing-masing dua menerusi Felipe dan Hamdin untuk mengesahkan kemenangan mutlak. Ia juga hatrik pertama karier buat Hamdin, manakala bagi Felipe, dia kini sudahpun mengumpul empat jaringan.
Pahang Rangers akan menentang Sabah dalam aksi ketiga MPFL pada 2 Mac depan (jadual tertakluk kepada perubahan).