SUKPA 'vibes' terus menyemarakkan semangat Pahang Rangers, kali ini untuk bangkit penuh bergaya membenam Gombak TOT United dalam aksi keempat MPFL.
Skuad Gerard Casas muncul pemenang dalam aksi menggoncang jantung dan adrenalin yang mana 14 gol terhasil, dengan keputusan akhir 8-6.
Hatrik Hamdin Zarif Mahmun - hatrik keduanya musim ini - serta jaringan Felipe de Souza membantu Pahang Rangers bangkit daripada ketinggalan untuk mendahului 4-2 di separuh masa pertama.
Murilo Saad kemudiannya menjadikan kedudukan 5-2 sebaik babak kedua bersambung, namun pasukan bimbingan Qusmaini Noor Rusli mencetus kejutan apabila menterbalikkan kelebihan itu dengan menjaringkan empat gol untuk mendahului 6-5 ketika perlawanan berbaki lima minit.
Perlawanan bagaimanapun bertambah rancak, apabila taktical masterclass oleh Gerard menerusi permainan powerplay menyaksikan dua gol pantas terhasil menerusi Harith Naim untuk Pahang Rangers kembali memimpin perlawanan 7-6.
Felipe menoktahkan sebarang peluang kebangkitan Tot United, apabila meledak gol kelapan pada minit akhir sekaligus melengkapkan malam indah di hadapan penyokong sendiri, memastikan rekod kebal di SUKPA terus ampuh bertahan.
Saingan MPFL akan berehat panjang selepas ini sehingga pertengahan April bagi memberi laluan kepada kem latihan skuad kebangsaan dan juga cuti bersempena Aidilfitri.